KUALA LUMPUR – Seperti dijangka ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kelab Sultan Sulaiman malam kelmarin dipergunakan sehabis baik oleh pembangkang sebagai modal politik untuk menghentam parti UMNO.
Ternyata kenyataan Muhyiddin yang tidak mengutamakan parti itu ibarat memberi bola tanggung kepada pembangkang untuk menambah sulit usaha UMNO menerangkan perkara sebenar di sebalik pelbagai dakyah yang dilemparkan ke atas parti.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur daripada semua jawatan atau cuti berehat seperti yang disarankan oleh Muhyiddin disebabkan isu 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion.
“Saya juga setuju dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa ini persoalan akauntabiliti atau pertanggungjawaban.
“Apakah tidak mungkin ini termasuk di bawah mana-mana daripada tiga kesalahan rasuah,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Syed Ibrahim turut mengulangi kenyataan Muhyiddin pada malam tersebut kononnya krisis keyakinan kepada Perdana Menteri yang menjejaskan imej, ekonomi dan politik negara.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO malam kelmarin mengadakan perhimpunan di luar Perhimpunan Agung UMNO 2015 bagi mengulangi pelbagai tuduhan liar yang dilemparkan ke atas pucuk pimpinan parti itu.
Beliau sekali lagi membangkitkan isu 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion dalam perhimpunan yang kurang sambutan berkenaan walaupun ia telah diperjelaskan oleh Najib dalam banyak platform sebelum ini.
Ramai pihak melihat tindakan Muhyiddin itu sebagai usaha terdesak beliau dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk mengambil kesempatan menekan Najib dalam perhimpunan agung UMNO kali ini. – mynewshub.cc

