KUALA LUMPUR – “Kerajaan Sarawak menghalang Nurul Izzah Anwar memasuki negeri tersebut tanpa alasan yang munasabah,” dakwa Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau mendakwa, tindakan yang dikenakan ke atas Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan kerajaan Sarawak bukan sebuah kerajaan yang progresif dan terbuka.
Dakwanya, ia juga satu lagi salah guna kuasa oleh kerajaan Sarawak untuk menghalang warga Malaysia memasuki negeri berkenaan seperti dialami pemimpin pembangkang lain termasuk Rafizi Ramli, Tony Pua dan Datuk S.Ambiga.
“Tindakan ini bertambah mengecewakan kerana Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menterinya, (Tan Sri) Adenan Satem sentiasa menggambarkan diri mereka sebagai kerajaan yang progresif dan terbuka,.
“Namun hakikatnya mereka tetap meneruskan budaya politik di bawah pentadbiran (Tun Abdul) Taib Mahmud yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mynewshub.cc semalam melaporkan Nurul Izzah yang juga anak pemimpin PKR yang dipenjarakan kerana meliwat seoang lelaki lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang memasuki Sarawak.
Tindakan itu diambil selepas Sabah melarang Nurul Izzah memasuki negeri berkenaan kerana mengadakan pertemuan mesra dengan anak bekas pemimpin kumpulan bersenjata yang menceroboh dan membunuh ramai anggota keselamatan negara dalam insiden Lahad Datu.
Nik Nazmi bagaimanapun mendakwa, larangan memasuki Sabah dan Sarawak ke atas Nurul Izzah kononnya tidak berpegang kepada prinsip demokrasi sebenar dan mencalar kredibiliti kerajaan kedua-dua negeri itu. – mynewshub.cc

