SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menyerahkan isu penggunaan rokok elektronik atau vape kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri untuk membuat keputusan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pihaknya akan bersama-sama menyokong dan melaksanakan segala bentuk keputusan yang dibuat.
“Kerajaan Negeri Sembilan tidak mengambil sebarang pendirian kerana isu vape ini kita serahkan pada pihak yang pakar dalam bidang itu. Kalau ianya dikatakan mempunyai nikotin yang tinggi biarlah Kementerian Kesihatan yang membuat keputusan dan jika ianya boleh dikatakan menjadi pemyalahgunaan dadah biarlah Kementerian Dalam Negeri yang mengambil keputusan.
“Sebarang apa jua keputusan, baik keputusan dari segi kepakaran berkenaan dengan vaping atau pun dari segi keputusan berkenaan dengan modul perniagaan, kita akan bersama-sama mengikut keputusan yang dibuat oleh pihak tertentu terutamanya kementerian terlibat kerana ini adalah di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Kita nak supaya isu ini ditangani dengan terbaik mungkin kerana kita tidak mahu ada pendirian yang berbeza-beza yang akhirnya masyarakat akan keliru dan yang penting sekali kita tidak mahu perkara ini jadi satu isu yang disensasikan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan exco di sini, hari ini.
Mohamad berkata keputusan yang dibuat kelak perlu mendapat sokongan daripada semua pihak tanpa perbezaan pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan seterusnya menjadikan perkara tersebut lebih sensasi.
Beliau berkata kementerian yang terlibat mempunyai lebih kepakaran untuk menentukan keputusan terbaik dalam menyelesaikan isu vape malah kerajaan negeri juga tidak akan mengeluarkan sebarang arahan selain daripada menunggu keputusan secara bersama di peringkat persekutuan.
Katanya banyak perkara perlu dibincangkan dan diteliti di peringkat kementerian seperti modul perniagaan untuk menjual kepada pembeli yang berumur 18 tahun ke atas atau kelulusan yang perlu diperoleh dari pelbagai pihak mengenai cecair vape yang dijual.
“Oleh itu, keputusan bersepadu perlu dibuat segera mengenai isu vape ini,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]e0w01cyPBl8[/wpdevart_youtube]

