KOTA KINABALU – Seorang lelaki lumpuh ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Kemajuan Kampung Likas, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bandaraya Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata ketika kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.44 pagi, mangsa, Lumilis Manyanri, 58, yang lumpuh sejak dua tahun lalu, tidur bersendirian di rumah itu.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini Selasa.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata mayat Lumilis ditemui anggota bomba sebaik sahaja api dipadamkan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.45 pagi dan anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu dan Lintas beserta tiga jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 2.04 x 1.11 meter persegi jenis tidak kekal telah terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Affendy berkata api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 6 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

