KUALA LUMPUR – PAS Selangor mengumumkan akan mempertahankan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang berkemungkinan mahu disingkirkan oleh Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, PAS akan menggerakan seramai 85,000 jenteranya untuk membantu Mohamed Azmin berhadapan calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya berkenaan sekali gus mengekalkan kerusinya
“Susulan pengisytiharan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Shaari Shuib bahawa PAN akan bertanding di kerusi milik Mohamed Azmin.
“PAS Selangor menyatakan kesediaan mengerahkan 85,000 jentera pilihan raya Selangor untuk mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Khairuddin turut mengingatkan Pakatan Harapan bahawa Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor telah menyatakan pendirian kerajaan negeri Selangor ditabdir oleh Pakatan Rakyat maka Pakatan Harapan tidak wujud di negeri itu.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikecam hebat oleh DAP dan PAN kerana pendiriannnya yang tidak selari dengan pendirian pucuk pimpinan PKR berhubung pentadbiran kerajaan Selangor.
Menteri Besar itu sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan Selangor masih ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS walaupun PKR, DAP dan PAN membentuk gabungan pembangkang baharu iaitu Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]C5Cs2zrxSzk[/wpdevart_youtube]

