PETALING JAYA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bercadang menilai semula Rangka Kerja Kelayakan Malaysia (MQF), berkemungkinan tahun depan, sebagai sebahagian daripada inisiatif ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.
Ketua pegawai eksekutif MQA Datuk Dr Syed Ahmad Hussein berkata sudah tiba masanya setiap pemegang kepentingan menimbang untuk membuat penilaian semula terhadap rangka kerja berkenaan yang digunakan sejak 2007 bagi memastikan tahap pendidikan di Malaysia terus meningkat.
“Dengan membuat penilaian semula terhadap rangka kerja ini, kami boleh memainkan peranan (lebih) besar untuk mengajak semua pihak menilai kembali proses, prosedur dan sistem agar semuanya boleh disejajarkan ke arah pelaksanaan amalan terbaik.
“Bagaimanapun, rancangan ini perlu disokong oleh perundingan menyeluruh. Ini kerana, kesudahannya, rangka kerja inilah yang akan membimbing langkah kami untuk menuju ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MQA di sini hari ini.
MQF diwujudkan sebagai suatu penjelasan menyeluruh atau perihalan tentang sistem pendidikan negara, yang diterima di peringkat antarabangsa serta memberi penjelasan tentang semua kelayakan serta pencapaian akademik dalam bidang pengajian tinggi.
Ketika ini, tahap kelayakan diklasifikasikan dalam empat kategori iaitu sijil, diploma, diploma lanjutan dan ijazah.
Syed Ahmad Hussein juga berkata semangat MQA terus melonjak apabila muncul sebagai agensi jaminan kualiti pertama di Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan International Network for Quality Assurance Agencies in Higher Education (INQAAHE).
“Urusan penjajaran itu dilaksanakan melalui lawatan tapak selama tiga hari dari 17 hingga 17 Dis tahun lepas. Aktiviti terlibat termasuk penilaian semula dan pengesahan dokumen, mesyuarat dengan pelbagai pemegang kepentingan dan temu bual dengan pihak pengurusan dan staf MQA. Panel berkenan juga membuat penilaian semula terhadap Laporan Penilaian Semula Kendiri yang disediakan MQA.
“Panel itu sebulat suara merumuskan bahawa MQA mematuhi kesemua 12 bidang Garis Panduan Amalan Terbaik Dalam Jaminan Kualiti INQAAHE.
Syed Ahmad Hussein bagaimanapun berkata agensi itu akan terus melaksanakan perancangan strategik dan inovatif untuk menjamin kewibawaannya sentiasa terpelihara dan dalam konteks lebih luas, dapat memberi sumbangan besar terhadap kecemerlangan pendidikan negara. – BERNAMA
