JOHOR BAHARU – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang wanita tahun lepas dan menggunakan dokumen palsu pada 2006.
Iskandar Othman, 36, bagi pertuduhan pertama didakwa memperdaya Amila Nasrah, 36, di dalam perniagaan membekalkan pakaian Hari Keluarga bagi syarikat di sekitar bandar raya ini yang tidak wujud sehingga mendorong wanita tersebut menyerahkan wang tunai berjumlah RM5,000.
Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di Bank RHB, di kawasan Johor Baharu Utara di sini, kira-kira pukul 4.52 petang, 11 Dis 2014.
Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Iskandar didakwa menggunakan sebagai tulen dua dokumen iaitu sijil Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Tenaga Nasional dan sijil dari Malaysia Institute of Accountants (MIA), sedangkan mengetahui ia adalah palsu.
Bekas Eksekutif Kewangan di syarikat perunding, Exec Sdn Bhd itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di pejabat syarikat tersebut di Taman Tampoi Indah, di sini, pada 7 Ogos 2006.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Taufik Saberi yang memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Iskandar yang tidak diwakili peguam.
Majistret Salina Omar, bagaimanapun, membenarkan Iskandar diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan Iskandar yang sudah bercerai dan memiliki dua anak.
Salina turut menetapkan 3 Dis depan untuk sebutan semula kes itu. – BERNAMA

