KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan membawa balik pelajar Malaysia di Sana’a, Yaman bertepatan dan harus dipuji berikutan ketidakstabilan dan keadaan tidak menentu sehingga mengancam proses pembelajaran di negara bergolak tersebut.
Rata-rata pakar politik antarabangsa berpendapat tindakan pantas itu perlu diambil memandangkan keadaan semakin kucar-kacir dan berkemungkinan akan bertambah buruk pada bila-bila masa.
Mereka berpendapat, ini kerana tiada jaminan keselamatan dan kestabilan dapat diberikan mana-mana pihak termasuk daripada kerajaan Yaman sendiri dan oleh itu kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara perlu bertindak cepat.
Jelas mereka, kerajaan telah belajar dan mengambil iktibar kejadian yang berlaku di Mesir sewaktu melancarkan Ops Piramid 1 dan 2 pada 2011 bagi membawa pulang puluhan ribu pelajar berikutan pergolakan dan ketidakstabilan negara tersebut.
Pakar-pakar juga senada, jika keadaan semakin parah di Sana’a, pelajar mempunyai opsyen untuk menyambung pengajian mereka sama ada di dalam atau di luar negara selain Yaman demi masa depan mereka.
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohamad Faisol Keling berkata adalah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan melindungi rakyatnya di mana-mana negara.
“Masyarakat perlu faham dan memberi pertimbangan wajar atas usaha kerajaan ini yang mementingkan keselamatan rakyatnya. Malah dalam konteks lain, ia baik untuk semua pihak termasuk anggota keluarga pelajar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kerajaan memutuskan untuk membawa balik rakyat Malaysia berikutan keadaan semasa di Yaman selain sebagai langkah berjaga-jaga.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar bersama-sama Kedutaan Malaysia di Sana’a bekerjasama menyelaraskan operasi berkenaan.
Puluhan pelajar Malaysia di Yaman telah dan akan tiba di tanah air selepas meninggalkan negara itu ekoran konflik terbaharu melanda Yaman berikutan pertempuran antara pergerakan Syiah Houthi dan tentera kerajaan yang menyaksikan pemberontak berjaya menguasai beberapa institusi penting di Sana’a, ibu negara itu.
Pada 2011, kerajaan Malaysia melancarkan ‘Ops Piramid’ untuk mengeluarkan hampir 11,000 rakyatnya di Mesir dan melalui ‘Ops Piramid 2’ sebanyak 2,791 pelajar lagi dibawa pulang.
Dalam pada itu Mohamad Faisol berkata beliau percaya keadaan di Yaman tidak memberi kesan besar kepada pembelajaran memandangkan jumlah pelajar yang tidak ramai dan penuntut boleh menyambung pengajian di sini mahupun di negara lain.
Ahli geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azmi Hassan berkata jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Mesir, keadaan di Yaman lebih parah kerana pihak berkuasa langsung tidak mampu mengawal pemberontakan itu.
“Pemberontak mampu mengawal bandar besar termasuk Sana’a dan kerana itu MKN bertindak pantas menyelamatkan pelajar kita daripada menjadi mangsa pergolakan tersebut,” katanya.
Menurutnya, walaupun keadaan yang berlaku ini boleh membantutkan pembelajaran pelajar namun situasi ini tidak boleh dielak dan faktor keselamatan adalah lebih penting yang telah diambil kira dan diutamakan kerajaan.
“Kalau di Mesir, ramai pelajar perubatan, di Yaman pula ramai pelajar pengajian Islam. Pilihan untuk tukar itu ada dan lebih mudah kerana kursus itu ada ditawarkan di sini.
“Ia tidak sepayah dan sesukar sewaktu kerajaan mengendalikan Ops Piramid di Mesir kerana perlu mencari alternatif lain supaya pelajar boleh terus menyambung pelajaran di dalam bidang perubatan,” tambahnya.
Sementara itu, Dekan Institut Pemikiran Tamadun dan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata apa yang berlaku di Sana’a sukar dijangka berikutan pertembungan Sunnah dan Syiah yang jelas sekali akan berpanjangan.
Jelasnya konflik ini pernah berlaku di Iraq dan Iran selain Bahrain sehingga menimbulkan kacau-bilau dan ketidaktenteraman setiap hari.
“Elok benar kerajaan bawa balik dan cari tempat lain untuk sambung belajar.
Kalau ingin belajar tahfiz dan pengajian Islam secara tradisional, di sini pun kita sudah ada pakar dan kemudahan yang lebih baik.
“Sepatutnya pelajar mencari negara yang maju bukan sahaja demi faktor pembelajaran malah untuk keselamatan dan masa depan mereka sendiri,” katanya. – BERNAMA

