ALOR GAJAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Melaka merampas pelbagai barangan bernilai RM293,919 atas pelbagai kesalahan antara 15 Jan hingga Rabu lepas.
Exco Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Lai Meng Chong berkata dalam tempoh sama juga KPDNKK negeri Melaka melakukan pemeriksaan terhadap 51,429 premis perniagaan di seluruh negeri itu.
Beliau berkata kompaun dengan jumlah RM158,150 telah dikutip melibatkan pelbagai kesalahan dan 126 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga yang menaikkan harga barangan dalam tempoh sama.
“KPDNKK negeri Melaka telah melaksanakan 15 operasi bersepadu dengan pelbagai agensi dan jabatan penguatkuasa di negeri itu bagi mengesan peniaga yang tidak jujur serta memastikan mereka tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kuasa Pengguna 2015 peringkat negeri di sini, disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah. Turut hadir Pengarah KPDNKK negeri Melaka, Mohd Faisal Rahman.
Lai berkata sebanyak 1,038 aduan direkodkan KPDNKK negeri Melaka melibatkan 333 aduan di bawah Antipencatutan Cukai Barang dan Perkhidmatan, penipuan harga (245), penipuan perkhidmatan (221), penipuan transaksi internet (59), tiada tanda harga (41) dan selebihnya aduan lain.
Beliau berkata secara keseluruhan orang ramai sedar tentang hak mereka sebagai seorang pengguna tetapi masih belum berjaya menterjemahkan dalam bentuk tindakan.
“Justeru, KPDNKK Melaka melaksanakan 165 program advokasi berkaitan kepenggunaan dianjurkan untuk pelbagai golongan rakyat di negeri ini bagi meningkatkan tahap kesedaran mereka tentang hak kepenggunaan,” katanya.
Sementara itu, Lai menyeru lebih ramai peniaga berniaga di Machap Walk di sini yang baru dibuka bulan lepas dan beroperasi antara 6 petang hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Sewaan tapak hanya serendah RM8 sehari dan mereka yang berminat boleh berjumpa dengan saya. Tapak jualan ini dilihat akan mendapat sambutan kerana kini, kira-kira 5,000 orang berkunjung di Machap Walk setiap malam,” katanya. – BERNAMA

