SEPANG – Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah mempamer prestasi membanggakan apabila berjaya menduduki tempat kelapan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Sepang hari ini.
Bermula dari petak ke-18, Hafizh Syahrin berjaya mengatasi isu pelarasan jenteranya untuk memintas pelumba di hadapannya dan berada dalam kelompok sembilan teratas seawal pusingan pertama.
Hafizh Syahrin dari pasukan Petronas Raceline Malaysia menamatkan perlumbaan dengan catatan 41 minit 04.457 saat dalam saingan 18 pusingan itu.
Sebelum ini pelumba berusia 21 tahun itu bergelut dengan masalah pelarasan jenteranya ketika sesi latihan dan pusingan kelayakan semalam.
“Syukur hari ini saya dapat kedudukan kelapan, memang sangat puas hati. Terima kasih kepada pasukan yang melakukan pelarasan yang baik untuk hari ini.
“Saya tidak boleh pergi lebih laju tadi kerana bagi saya kedudukan kelapan sudah terbaik. Kalau saya pecut lagi kemungkinan saya akan jatuh.
“Apa yang penting saya mahu menghabiskan perlumbaan di hadapan peminat tempatan. Saya harap semua peminat yang datang ke sini gembira dengan keputusan ini,” katanya kepada pemberita.
Juara dunia bagi kelas Moto2, Johann Zarco dari pasukan Ajo Motorsport menjuarai perlumbaan dengan catatan 40:37.772s mengatasi Thomas Luthi dari Derendinger Racing Interwetten (40:38.370s) manakala wakil AGR Team, Jonas Folger (40:47.618s) melengkapkan podium.
Dua lagi pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Ramdan Rosli yang beraksi atas tiket wild card, masing-masing bagi pasukan Idemitsu Honda Team Asia dan Petronas AHM Malaysia menduduki tempat ke-16 dan ke-23 daripada 27 pelumba.
Azlan Shah mencatat 41:19.384s manakala Ramdan 41:56.306S
Hafizh Syahrin menduduki tangga ke-16 dalam kedudukan keseluruhan Moto2 dengan 64 mata manakala Azlan Shah di kedudukan ke-23 dengan 24 mata. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]-IBRbfSsez0[/wpdevart_youtube]

