SEPERTI diketahui umum, pelakon dan model Rita Rudaini telah memenangi kes tuntutan mutaah terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan bernilai RM30,000 iaitu 10% daripada tuntutan asal Rita sebanyak RM300,000.
BACA: Gagal Dua Perkahwinan, Rita Enggan Kahwin Lagi
Bagaimanapun memetik laporan Murai, Rita mendedahkan hingga hari ini Aidil yang juga merupakan atlet bola sepak terkenal masih belum melangsaikan sedikit pun wang mutaah tersebut meskipun Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah memerintahkannya berbuat demikian pada 5 Oktober lalu.
“Saya masih tidak dapat apa-apa bayaran untuk wang mutaah saya. Saya pun tak tahu mengapa dia masih tidak melangsaikannya lagi sedangkan dia sendiri pernah berkata tidak mahu berhutang dengan sesiapa dan mahu segera selesaikannya.
“Sepatutnya dia sudah mula membayarnya kerana surat daripada mahkamah pun sudah dihantar. Sekarang ini hanya menunggu dia untuk selesaikannya sahaja.
“Saya bukan tak move on tetapi saya ada harga diri dan saya nak move on dengan cara saya iaitu cara terhormat dan memberitahu pihak lelaki yang kita juga ada maruah,” katanya.
Sementara itu, ibu tunggal dua anak ini akui dia menerima banyak ucapan tahniah dan sokongan selepas kemenangan kesnya terhadap Aidil.
5 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan Aidil Zafuan membayar mutaah sebanyak RM30,000 kepada aktres itu kerana punca penceraian bukan daripada pihak Rita sebaliknya, atas tindakan Aidil yang keluar rumah.
Mutaah adalah satu bayaran yang wajib diberikan suami kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Murai
