PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan menerusi satu kenyataan pada Rabu mengumumkan penutupan 4,778 buah sekolah di 10 negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan pada Khamis ekoran keadaan jerebu yang teruk.
Perkara berkenaan turut dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan kepada pihak media dan mengesahkan sejumlah 2,696,110 orang murid di negeri-negeri yang terlibat dalam arahan penutupan itu.
Berdasarkan pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga jam 3 petang pada 21 Oktober didapati tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kawasan-kawasan tertentu menunjukkan adalah ‘Tidak Sihat’.
Ia melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, daerah Bentong di Pahang serta bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong di Sarawak.
Malah ada juga daerah dinyatakan itu telah mencapai bacaan IPU sebagai ‘Sangat Tidak Sihat’. Sehubungan itu kementerian memaklumkan semua sekolah di negeri dan bahagian tersebut perlu ditutup pada 22 Oktober.
Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang terlibat hendaklah juga memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing akan penutupan ini dengan kadar segera.
Dalam pada itu, pihak JPN dan PPD termasuk pengurusan sekolah di seluruh negara juga hendaklah secara berterusan memantau bacaan IPU terkini yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.
Sekiranya berlaku peningkatan ke tahap ‘Tidak Sihat’ dan Sangat Tidak Sihat’, maka pihak berkenaan boleh terus mengambil tindakan di peringkat masing-masing seperti yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian.
Ini merupakan rekod penutupan terbesar dalam sejarah negara melibatkan jumlah paling ramai murid dan bilangan sekolah terjejas akibat masalah jerebu sejak ia mula kali pertama dilaksanakan pada 15 September lalu.
Ketika tarikh itu, hanya Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka yang membabitkan 2,045 buah sekolah serta 1.523 juta murid terlibat dalam satu pengumuman secara mengejut pada lewat malam.
– Mynewshub.cc/HAA

