KUALA LUMPUR - Syarikat yang terlibat dalam mencetuskan masalah jerebu di rantau ini akan dikenakan tindakan mahkamah dalam masa terdekat, kata Gabungan NGO Islam Melayu Malaysia Melayu hari ini selepas menyuarakan kekecewaan atas masalah jerebu yang saban tahun melanda negara.
Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan di mana tindakan undang-undang yang bersesuaian adalah wajar bagi memberi pengajaran dan sebagai cara meluahkan kemarahan kepada firma yang tidak bertanggungjawab.
“Kami akan meneliti maklumat berkenaan firma-firma yang menjadi dalang pembakaran hutan dan akan melantik peguam yang mempunyai kepakaran dalam hal perundangan, mungkin undang-undang antarabangsa dan akan melakukan perbincangan bagi mengenakan tindakan terhadap firma terbabit, terutamanya syarikat-syarikat Malaysia,” jelasnya.
Nadzim juga menyeru semua pihak memberi maklumat berhubung aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkenaan bagi memudahkan syarikat terbabit didakwa.
“Pihak kami sedang mengumpulkan maklumat tetapi kami memerlukan lebih ramai penglibatan khususnya peguam syariah dan sivil untuk menggerakkan tindakan terhadap syarikat dari Malaysia ini,” katanya.
Sementara itu, Majlis Fatwa Kebangsaan digesa agar mengeluarkan fatwa mengenai syariat yang terlibat dalam pembakaran terbuka hutan di negera jiran, khususnya perbadanan yang membabitkan Malaysia.
Mereka menuntut jika syarikat yang terbabit dalam pembakaran terbuka dari Malaysia, firma itu perlu dikeluarkan daripada senarai perbadanan patuh syariah negara ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Sheikh Abd Kareem Said Khadaied berkata, pembakaran hutan bercanggah dengan ajaran Islam.
Justeru, katanya pelaburan dalam syarikat yang terbabit tidak boleh lagi dianggap mematuhi syariah.
“Jadi perlu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan garis panduan jelas apakah hukum membakar hutan bagi mencari keuntungan,” katanya di sidang media di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Selain itu, Sheikh Abd Kareem berkata pihaknya juga menuntut semua pengguna memboikot produk syarikat yang terlibat dalam pembakaran terbuka hutan.
“Mungkin pemulauan perlu sebagai pengajaran kepada mereka,” katanya.
Hadir sama dalam sidang media pagi tadi adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan Yayasan Patriot Negara.-Mynewshub.cc
Oleh: Ieamyrul Haziq Ahmad Ehsan

