SEORANG kanak-kanak yang lumpuh akibat kecederaan otak selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu, telah meninggal dunia.
Ketika kemalangan itu, Cerys Edwards hanya berusia setahun apabila kereta Range Rover Sport yang dipandu seorang lelaki yang juga anak jutawan, Antonio Boparan, 28 merempuh jip yang dinaiki Cerys dan keluarganya.
Kemalangan itu mengakibatkan Cerys tercampak keluar hinggakan tulang belakangnya patah. Ia menyebabkan kanak-kanak berkenaan lumpuh dan tidak boleh bercakap.
Susulan nahas terbabit, Cerys terpaksa melalui berbelas-belas pembedahan namun akhirnya meninggal dunia di Hospital Kanak-kanak di Birmingham.
Manakala Boparan didapati bersalah kerana memandu dengan berbahaya pada April 2009 dan dipenjara selama 21 bulan. Dia dibebaskan selepas menjalani hukuman selama enam bulan.
Bapanya Gareth Edwards, 50, berkata, anaknya itu tidak pernah mengadu mengenai keadaan dirinya dan dia merupakan seorang kanak-kanak yang sentiasa gembira.
“Senyumannya mencairkan hati setiap insan. Dia bakal menyambut hari jari ke sepuluh tahun pada bulan depan,’’ katanya.
Berikutan kemalangan tersebut, Cerys, menerima pampasan sebanyak £5 juta pada 2012 bersama-sama dengan bayaran tahunan sebanyak £450,000 untuk membantu kos perubatannya.

