KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dengan melanggarnya di pintu sebuah hospital di Wangsa Maju, tahun lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada T. Ganesan, 44, berikutan peguam tertuduh Noor Mousa Azaddin memohon anak guamnya dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta.
“Sebelum ini, anak guam mempunyai sejarah mental. Sehubungan dengan itu pembelaan memohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi mendapatkan tahap penilaian mentalnya,” kata peguam itu.
Sehubungan itu, Hakim Azman Mustapha menetapkan 17 Nov depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Mohd Azahari Yusoff, 41, dengan cara melanggarnya menggunakan sebuah kereta Proton Saga sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan dan tangan kiri.
Tertuduh, didakwa melakukan kesalahan di pintu utama Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju di sini pada pukul 8.43 pagi, 12 Okt tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli. – BERNAMA

