APAKAH aplikasi navigasi kegemaran anda ketika memandu?
Sekiranya anda menggunakan Google Maps untuk navigasi, anda pasti gembira dengan perkembangan terbaharu yang menyokong panduan lorong untuk kebanyakan jalan-jalan awam di Malaysia.
Google Maps Navigation kini menyokong panduan lorong (lane assist) untuk kebanyakan jalan-jalan utama di Malaysia.
Perkara ini diumumkan oleh Google Malaysia menerusi Twitter mereka di @GoogleMsia.
Dengan panduan ini, anda boleh menggunakan panduan lorong untuk memastikan anda tidak terlepas simpang atau susur keluar dengan memeriksa lorong atau laluan mana untuk anda ambil, bagi mengelakkan perubahan laluan secara mengejut atau pertukaran lorong di saat-saat akhir atau lebih teruk lagi memandu di jalan yang salah.
Untuk mengakses navigasi lengkap (turn-by-turn), buka aplikasi Google Maps di Android atau iPhone dan dapatkan arah ke lokasi anda.
Kemudian, dengan mudah sentuh ikon ‘Navigation’ untuk mendengar pandu arah bersuara, kini lengkap dengan panduan lorong atau laluan.
Selamat memandu pengguna-pengguna semua dan berhati-hati di jalan raya! – MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzqahmd



