MELAKA – Tiga pegawai imigresen yang diserang sekumpulan lebih 40 samseng ketika membuat pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya di sini pada 30 Sept lepas bakal dianugerahkan bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka 2015.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata Pegawai Imigresen, Mohd Yusof Hashim menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT) manakala dua lagi pegawai imigresen menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.
“Kita beri pingat ini sebagai kekuatan semangat bagi tujuan meransang mereka bekerja dan berkhidmat tanpa putus asa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seri Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata ketiga-tiga pegawai berkenaan bakal menerima pingat pada sesi ketiga penganugerahan 14 November depan.
Dalam pada itu, Idris berkata pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan premis hiburan terbabit diambil tindakan sewajarnya kerana membenarkan kejadian seperti itu berlaku.
Beliau berkata kejadian itu juga tiada unsur perkauman seperti yang diuar-uarkan beberapa pihak.
“Jika ada pihak yang ingin mengaitkan serangan itu berbentuk perkauman, ia tidak benar dan ia hanya sentimen kumpulan yang menghalang pegawai kerajaan mengambil tindakan terhadap kesalahan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya memberikan kuasa sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memantau kejadian letupan bom di sebuah mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Taman Ayer Keroh Height di sini, Selasa lepas.
“Kes ini adalah kes terpencil dan saya yakin polis begitu optimis dan dapat menjejaki penjenayah terbabit,” katanya. – BERNAMA

