KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah majikan hendaklah meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan persendirian dengan membenarkan pekerja mereka menyertai Askar Wataniah (AW).
Menurut baginda keengganan majikan adalah antara faktor utama anggota-anggota AW tidak menyertai aktiviti atau latihan yang diadakan pasukan itu.
“Dalam hubungan ini, saya berharap ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan memberi sokongan penuh kepada kakitangan mereka menyertai Rejimen AW selain membantu meningkatkan keanggotaan Rejimen itu,” titah baginda.
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 AW berpangkalan di Kem Bukit Keteri bertitah pada majlis Pemakaian Pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) AW kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Dewan Warisan, di sini, malam tadi.
Turut dipakaikan pangkat ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Romli Dai sebagai Kolonel Kehormat.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah konsep ‘Hanruh’ atau pertahanan menyeluruh akan tercapai dengan berkesan melalui sokongan padu ketua-ketua jabatan dan majikan.
“Ketua jabatan adalah pace setter (penetap kadar) dan model kepada para pegawai dan anggota AW. Justeru, anda harus memain peranan sebagai motivator supaya setiap anggota AW melaksanakan kewajipan mereka,” titah baginda.
Baginda berharap penglibatan aktif Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan melonjakkan Rejimen 504 dan menarik lebih ramai golongan muda serta mencapai sasaran, peranan dan misinya.
Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – BERNAMA
