KUALA LUMPUR – DAP mendakwa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang, Kelantan terpaksa mandi air sungai kerana asrama sekolah itu sering ketiadaan bekalan air.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, sekolah itu juga dalam keadaan daif dengan keadaan pagar yang patah memudahkan murid sekolah itu keluar daripada asrama.
“Berdasarkan maklumat daripada aktivis Orang Asli, SK Tohoi dimana tujuh murid itu bersekolah, berada dalam keadaan yang `sayu’.

“Kadang-kala apabila tiada bekalan air di asrama memaksa kanak-kanak terbabit menggunakan air sungai. Tiada guru besar untuk sekolah itu pada masa kejadian,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang turut mendakwa, seramai lapan guru seolah itu adalah lelaki dan daripada empat warden, hanya seorang daripada mereka adalah perempuan sedangkan majoriti pelajar SK Tohoi perempuan.
Justeru, katanya, satu inkuiri bebas perlu diwujudkan untuk benar-benar memahami apa yang berlaku dalam tragedi tersebut.
Media hari ini melaporkan misteri kehilangan tujuh murid SK Tohoi sejak berpuluh hari lalu terjawab selepas lima daripada mereka disahkan maut manakala dua lagi masih hidup.
Tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun terbabit dilaporkan melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lalu. – MYNEWSHUB.CC

