MUAR – Polis berjaya menahan seorang wanita yang merupakan pekerja sebuah bank di sini bagi membantu siasatan terhadap satu kes pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM450,000.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata wanita berumur 28 tahun itu ditahan oleh polis Kedah di Pulau Langkawi, Rabu lalu.
“Wanita berkenaan telah tidak hadir bertugas di bank berkenaan sejak Isnin lepas dan kini sedang dalam proses membawa pulang wanita itu bagi membantu siasatan.
“Polis daerah ini telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek dan telah memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bagi tujuan mendapatkan bantuan polis seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.
Azman berkata kejadian itu mula disedari pengurusan bank berkenaan yang menerima panggilan telefon daripada ibu pejabat yang memaklumkan wang sebanyak RM450,000 di dalam satu akaun masih tergantung.
Katanya sebaik menerima panggilan telefon itu, beberapa pegawai bank berkenaan melakukan pemeriksaan dan mendapati suspek mendebitkan sejumlah wang itu ke akaun lain tanpa kebenaran.
Menurutnya pada masa sama, suspek wanita itu terus menghilangkan diri dan tidak datang bekerja sejak Isnin lalu dan pemeriksaan di dalam lacinya membawa kepada penemuan wang berjumlah RM10,000 sebelum pihak bank cawangan itu membuat laporan polis.
“Kami berterima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk Polis Kedah yang membantu menahan suspek di Pulau Langkawi dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

