KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan setiap masjid di negeri ini memperbanyakkan aktiviti mesra jemaah bagi menarik minat umat Islam semua peringkat usia mendekati masjid.
Titah baginda, antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah penganjuran sukan, membuka perpustakaan masjid dan sebagainya yang secara tidak langsung boleh menarik minat anak jemaah termasuk golongan muda rajin datang ke masjid.
Raja Muda bertitah demikian semasa merasmikan Seminar Pengurusan Masjid peringkat negeri Perlis anjuran Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Auditorium Kompleks Budaya di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Khairi Hassan mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah JAIPs, Mohd Sokri Hussin.
Titah baginda, dalam hal ini amat penting para pegawai masjid memahami matlamat dan hala tuju masing-masing dengan setiap perancangan perlu diletakkan ‘tanda aras’ bagi menilai pencapaiannya.
Baginda berharap kepimpinan masjid menggalakkan masyarakat di kariah masing-masing melibatkan diri dalam setiap aktiviti anjuran masjid termasuk bergotong-royong membersih kawasan dalam dan luar masjid.
“Anak-anak jemaah perlu ditanam dengan semangat mencintai kebersihan yang merupakan tanggungjawap bersama. Kebersihan akan menggambarkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran sesebuah masjid selain melambangkan identiti Islam serta sebahagian daripada tuntutan agama itu sendiri,” titah Raja Muda.
Baginda mengajak para pegawai masjid supaya berusaha menjadikan pengurusan masjid di Perlis sebagai yang terbaik meliputi sifat kerjasama, berdisiplin, berminda terbuka, tidak berpuak-puak serta bersifat mesra jemaah kerana pengurusan masjid yang cekap dan berkesan bergantung kepada kecekapan pegawai masjid dan jawatankuasa masing-masing.
Justeru baginda berharap setiap pegawai masjid perlu bersikap proaktif, responsif dan sentiasa mempunyai inisiatif membuat penambahbaikan dalam aspek sikap dan jati diri di samping merancang aktiviti bersesuaian keperluan semasa dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sebelum itu dalam ucapannya, Naib Presiden OUM, Prof Datuk Dr. Mansor Fadzil berkata penglibatan OUM dalam seminar berkenaan merupakan komitmen universiti membantu imam-imam dan para pegawai masjid di negeri ini melengkapkan pengurusan masjid dalam pelbagai aspek termasuk dari segi aktiviti dan kewangan di samping memperkenalkan OUM secara lebih dekat kepada pegawai-pegawai masjid. – BERNAMA

