KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamat tujuh orang pemancing termasuk tekong bot selepas bot mereka megalami kerosakan enjin.
Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 (DM9) Kuala Terengganu, Komander Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada tekong bot tersebut pada pukul 10.30 malam tadi yang melaporkan permasalahan yang dialami mereka.
Katanya sebaik menerima panggilan itu, sebuah aset telah digerakkan bagi mengesan dan menyelamat kesemua mangsa yang berusia antara 33 hingga 60 tahun itu.
“Dalam keadaan jerebu yang amat teruk dan jarak penglihatan terhad, Bot Maritim Penggalang 16 telah menjumpai bot tersebut kira-kira satu batu nautika daripada Pulau Tenggol, Dungun pada pukul 11.10 malam tadi.
“Semua nelayan tempatan ini ditemui dalam keadaan selamat dan bot mereka mengalami kerosakan pada penghidup enjin dan dalam berkeadaan bersauh sebelum ditunda ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya kumpulan pemancing tersebut telah keluar untuk menangkap ikan kira-kira pukul 8 pagi semalam sebelum bot tersebut dikesan mengalami kerosakan.
Justeru beliau turut mengingatkan kepada semua pengguna laut agar berhati-hati ketika di laut ekoran jerebu yang melanda kini dengan jarak penglihatan yang terhad.
“Diingatkan juga agar mereka lebih peka ketika dilaut terutamanya kepada bot-bot nelayan kecil dan nelayan pesisir pantai, elakkan daripada menggunakan laluan kapal dagang bagi mengelakkan sebarang pelanggaran,” katanya.
Jelasnya setakat ini APMM DM9 tidak menerima sebarang laporan berhubung kemalangan dilaut ekoran masalah jerebu.
Beliau berkata sebarang kejadian kecemasan dan aktiviti jenayah maritim semasa berada dilaut boleh dilaporkan segera dengan menghubungi talian MERS 999 atau di talian 09-6224357 Pejabat Operasi Maritim Kuala Terengganu. – BERNAMA

