MELAKA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka pasar tani yang ke-21 di Melaka dalam usaha memberikan produk pertanian terbaik kepada rakyat negeri ini.
Pengarah FAMA Negeri Melaka, Azraii Kalam berkata pasar tani di Lorong Pandan, Tengkera itu akan mula dibuka kepada orang ramai pada Ahad ini bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Beliau berkata sebanyak 45 lot perniagaan akan dibuka di pasar tani yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang itu.
“Selain memberikan kemudahan kepada masyarakat setempat mendapatkan barangan keperluan harian, kita juga memberi peluang kepada usahawan tani, penternak dan nelayan untuk memasarkan hasil keluaran mereka terus kepada pelanggan.
“Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri supaya pasar tani diwujudkan di setiap kawasan DUN di seluruh negeri Melaka (satu DUN, satu pasar tani),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Melaka secara keseluruhan mempunyai 28 DUN. – BERNAMA

