KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan berjalan lancar setakat 9 pagi ini walaupun kenderaan bertambah sempena Hari Raya Aidiladha.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Keadaan trafik lancar dan kemalangan yang berlaku pada awal pagi tadi sedang dibersihkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, aliran di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut dilapor bergerak lancar.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran di LPT 2 di kedua-dua arah juga bergerak lancar tanpa sebarang gangguan.
“Keadaan trafik sekarang adalah lancar dan tidak terdapat sebarang kesesakan di LPT2 bagi kedua-dua arah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA

