MELAKA – Sebanyak 97 orang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi “Ops Ingkar” oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang bermula pukul 4 pagi dan berakhir 12 tengah hari tadi di Tanjung Keling, di sini.
Pengarah AADK Melaka Mohamad Yusof Kameh berkata operasi bersepadu yang turut disertai pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) itu dijalankan di sebuah ladang kelapa sawit di sekitar Tanjung Keling.
“Daripada jumlah yang ditahan, seorang daripadanya merupakan penjawat awam berumur lingkungan 30-an dan seorang wanita berumur lingkungan 20-an.
“Ada antara mereka membawa anak kecil ke lokasi aktiviti penagihan…ianya tidak wajar dilakukan kerana anak-anak ini sepatutnya dilindungi daripada aktiviti seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka berusia antara 20 dan 60 tahun itu ditahan ketika menjalankan aktiviti jual-beli dadah di ladang berkenaan.
Mohamad Yusof berkata kesemua mereka dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh untuk ujian saringan.
Beliau berkata tiga orang dipercayai pengedar dadah berusia lingkungan 20-an turut ditahan dalam operasi itu dan merampas dadah jenis heroin seberat 9.4 gram.
“Seorang lelaki berusia 30-an juga cuba melarikan diri dengan memecut motosikalnya sehingga hampir melanggar anggota penguatkuasa yang lain, namun lelaki itu berjaya ditahan.
Kita juga telah menyita 85 buah motosikal dan akan diberikan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa lokasi sarang penagihan di ladang ini dan di seluruh negeri dan AADK akan terus menjalankan operasi bagi memerangi gejala dadah di Melaka. – BERNAMA

