BERA – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diminta mencari kaedah menghasilkan barangan hiliran berasaskan getah sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan harga getah di pasaran tempatan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk tujuan tersebut RISDA boleh menjalinkan kerjasama dengan agensi lain di bawah kementerian seperti Felcra.
Langkah tersebut katanya perlu bagi menjaga kepentingan kira-kira 532,000 pekebun kecil di negara ini terutama apabila berlakunya penurunan harga komiditi tersebut.
“Banyak produk yang berasaskan getah boleh dikeluarkan menerusi industri hiliran seperti tiub motosikal, alat ganti kenderaan, barangan perhiasan dan sebagainya yang mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu RISDA daerah Bera dekat Triang hari ini yang berharga RM10.2 juta. Sebanyak 53 pejabat RISDA daerah dibina di seluruh negara setakat ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Zubir Abd Ghani, Ketua Pengarah RISDA Datuk Mohd Zuki Mohamad dan Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Ismail Sabri berkata sekiranya bahan mentah seperti getah dapat diproses di negara ini ia boleh menstabilkan harga barangan komoditi berkenaan di samping pengguna pula dapat membeli barangan dengan harga lebih rendah.
Beliau berkata harga pasaran getah tertakluk kepada ekonomi dunia yang dipegang oleh negara maju menyebabkan apabila mereka menjualkan stoknya secara banyak menyebabkan harga turun sehingga menimbulkan kesulitan kepada pekebun kecil.
“Bagi menstabilkan harga getah, kerajaan terpaksa memberikan subsidi kepada pekebun kecil mulai 1 Sept lalu dan perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
“Kerajaan berpendapat sekiranya harga getah SMR jatuh di bawah RM5.10 dan harga getah skrap di bawah paras RM2, kerajaan akan memberikan subsidi kerana tidak mahu pekebun kecil menghadapi kesukaran,” katanya.
Beliau berkata bagi meringankan beban pekebun kecil getah, kerajaan juga berbincang dengan kerajaan Indonesia dan Thailand untuk membantu menstabilkan harga getah supaya pekebun kecil negara ini tidak menghadapi kesukaran. – BERNAMA

