KUALA LUMPUR – Kampong Bharu akan melalui fasa pembangunan semula dengan pembinaan perumahan rakyat mampu milik PR1MA dan infrastruktur yang lebih mantap untuk keselesaan jangka panjang.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Datuk Affendy Zahari, berkata terdapat kawasan tertentu di Kampong Bharu yang boleh dimajukan dan dibangun semula.
Rancangan menambah baik infrastruktur termasuk memperluaskan lima laluan masuk ke Kampong Bharu dan pembinaan Lebuhraya Duke 2 serta stesen MRT di kawasan itu, katanya.
“Kerana itu kita memohon kepada kerajaan untuk meluluskan pembinaan Lebuhraya Duke 2 yang akan berhubung terus ke Kampong Bharu,” katanya pada sidang media selepas Program Bersama Waris (Penyelesaian Isu Pembahagian Harta Pusaka Kecil) di ibu pejabat PKB di sini hari ini.
Affendy berkata ada sesetengah tempat dilihat sesuai untuk dibina perumahan rakyat mampu milik PR1MA yang setiap unit bersaiz 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air berharga kira-kira RM300,000.
“Kita ada beberapa perancangan untuk kemudahan dan keselesaan tetapi tanah di Kampong Bharu bukan milik PKB, kita tidak boleh paksa pemilik atau waris. Apa yang boleh kita lakukan di dalam zon-zon tertentu adalah membantu pemilik atau pewaris menentukan kawasan yang boleh dibina mengikut kemahuan mereka serta berurusan dengan pemaju,” katanya.
Affendy berkata PKB sekarang hanya ada dua orang kakitangan bagi mengesan kesemua pemilik dan pewaris, dan telah memohon peruntukan tambahan untuk membesarkan pasukan bergeraknya.
Sebanyak 3,001 ekar (kira-kira 1,200 hektar) tanah telah diwartakan oleh kerajaan pada Mei lalu di bawah pentadbiran PKB bagi membantu mengendalikan 1,355 lot tanah di situ dan setakat ini PKB memperolehi kira-kira 5,300 pemilik berdaftar lot tanah dan dijangka jumlahnya akan meningkat.
Sebanyak 20 waris sah daripada 30 waris Lot 50, Kampong Pindah, Kampong Bharu menghadiri Program Bersama Waris itu bagi menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka kecil mengikut hukum faraid dengan kerjasama Unit Pembahagian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
Setakat ini PKB telah menyelesaikan masalah bagi 10 lot tanah.
Bagaimanapun, Affendy menegaskan bukan semua lot tanah mempunyai masalah. – BERNAMA

