KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengenai kerjasama dengan PAS merupakan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan, kenyataan Mohamed Azmin itu bukan pendirian beliau sebaliknya merupakan pendirian parti itu.
“Kita sedar perbezaan dengan PAS tetapi itu tidak boleh menghalang kerjasama. PKR mengakui wujud perbezaan pendapat yang besar dalam isu-isu dasar dengan PAS.
“Ia wajar diperbahaskan secara intensif, bukan menyebabkan hubungan menjadi rosak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
PKR baru-baru ini membuat pusingan U apabila mengumumkan mahu PAS berada dalam pembentukan gabungan baharu parti-parti pembangkang yang bakal dibentuk nanti.
Keputusan itu dipercayai kerana PKR khuatir parti itu akan kehilangan sokongan pengundi Melayu berdasarkan tidak ramai kaum itu menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Tidak ramai Melayu menyertai perhimpunan anti-kerajaan tersebut sebaliknya cuma didominasi kaum Cina yang terdiri daripada penyokong DAP dan PKR sendiri.
Pengumuman itu bagaimanapun dibantah keras DAP dan bekas-bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN) kerana mendakwa PAS tidak sesuai untuk bersama-sama parti pembangkang kerana mempunyai agenda berlainan.
Pengumuman PKR itu turut menimbulkan reaksi kurang senang Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta Mohamed Azmin memberi penjelasan mengenai pendirian PKR tersebut.
PAS pada Jun lalu membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP bagi menyelamatkan akidah ahli dan pemimpinnya daripada terpesong dengan agenda sekular DAP selain perbuatan biadap DAP memfitnah ulama-ulama PAS.
Berikutan itu, DAP dan PKR mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat dan mahu membentuk sebuah gabungan parti pembangkang baharu dengan mengenepikan PAS. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=sF8Xc5IRnYw

