PETALING JAYA – Penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim mendominasi dua rekod kebangsaan 10m Air Rifle individu wanita, kedua-duanya bagi acara final dan pusingan kelayakan pada Kejohanan Trofi Tun Hanif 2015 di Lapang Sasar Menembak Subang, dekat sini, hari ini.
Pada aksi final, Nur Ayuni dari Pahang bertindak cemerlang apabila melakukan bidikan 210.3 mata, sekali gus memadam rekod miliknya sendiri iaitu 208.2 mata yang dilakukannya pada April lepas.
Nur Ayuni, yang mewakili Pahang, meraih pingat emas acara tersebut dengan menewaskan Nur Suryani Mohd Taibi dari pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meraih pingat perak dengan 205.8 mata.
Pingat gangsa menjadi milik Nur Izazi Rosli dari Kuala Lumpur dengan 183.1 mata.
Terdahulu, Nur Ayuni mencipta rekod kebangsaan dalam pusingan kelayakan dengan bidikan 418.2 mata yang berlangsung pada pagi tadi.
Beliau memecah rekod kebangsaan milik Nur Suryani, 417.3 mata yang dilakukan pada tahun lepas.
Nur Ayuni, ketika ditemui pemberita, berkata beliau bersedia untuk beraksi pada Kejohanan Asia di Kuwait dari 1 hingga 12 Nov ini bagi meraih slot ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi hari ini. Saya tidak berlatih selama sebulan dan tidak dapat menyertai Kejohanan Piala Dunia di Azerbaijan pada Ogos lepas.
“Selepas ini saya akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Kebangsaan pada Oktober ini sebagai persediaan untuk beraksi di Kuwait,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ayuni turut membantu Pahang meraih pingat emas dalam acara sama bagi acara berpasukan menerusi gandingan bersama Faezah Abd Aziz dan Nur Fadhilah Ahmad Kamal dengan 1,228.9 mata.
Pingat perak dimenangi oleh trio dari Selangor iaitu Nur Syahirah Zulkifli, Nur Syahirah Ahmad Nadzri dan Juain Iznil Zamir dengan 1,216.1 mata manakala Nur Suryani, Muslifah Zulkifli dan Azni Florin dari ATM meraih pingat gangsa dengan 1,200.2 mata. – BERNAMA

