KUALA LUMPUR – Pameran Persatuan Agensi-agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) yang kini berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari mulai 4 September, dijangka meraih jualan RM4 juta dan menarik lebih 100,000 pengunjung.

Pengerusinya, Hamzah Rahmat berkata, MATTA fair pertama pada Mac lalu mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan melebihi jumlah jangkaan pihaknya sendiri.
“Kali ini, pameran disertai 1,233 gerai yang menyediakan pelbagai tawaran istimewa, meliputi pakej pelancongan dan pengembaraan, hotel, tarikan tema dan tawaran hebat oleh syarikat penerbangan.
“Pameran MATTA yang dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 9 malam ini, juga menyediakan pertandingan untuk pengunjung iaitu ‘Buyers Contest‘ yang menawarkan hadiah utama melancong tajaan Trafalgar,” katanya dalam sidang akhbar perasmian MATTA Fair di PWTC, Jumaat.
Dalam pameran itu, orang ramai berpeluang memilih pelbagai pakej pelancongan luar dan dalam negara yang disediakan 110 organisasi yang terdiri daripada 57 pengusaha pelancongan, 34 pengusaha hotel/resort dan 19 pengusaha produk pelancongan di dalam enam dewan yang berkeluaÂÂsan 27,400 meter persegi.
Beberapa selebriti antarabangsa dan tempatan juga dijangka bakal memeriahkan lagi pameran ini antaranya bintang ‘Running Man’ Gary, penyanyi Rossa dan Amber Chia.
Majlis perasmian MATTA fair ini, disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mewakili Menteri Besar Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
“Tahniah diucapkan kepada MATTA atas usaha menganjurkan pameran seumpama ini buat kali ke-40. Pelbagai tawaran menarik disediakan untuk anda nikmati dalam pameran yang berlangsung selama tiga hari ini.
“Oleh sebab saya dari Sabah, saya mengambil kesempatan ini, mengajak orang ramai berkunjung dan melancong ke negeri Sabah.
“Meskipun, Sabah diuji dengan ‘tragedi hitam’ susulan kejadian gempa bumi, kami percaya Sabah mempunyai kecantikan dan tarikan tersendiri.
“Tidak keterlaluan kami katakan, Sabah adalah ‘Destinasi Wajib Dikunjungi’ dalam negara kita,” kata Musa menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Masidi.
[BACA: Pendakian Gunung Kinabalu Telah Dibuka Semula]
Bagi yang berminat, pengunjung boleh membeli tiket masuk ke pameran itu, yang berharga RM4 seorang di kaunter pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang www.mattafair.org.my. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=ea9DlK0mdrk&feature=youtu.be
Oleh: FARAH
Foto/Video: RIZA RAZAK



