SINGAPURA – Buat pertama kali Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang memerintah menghadapi cabaran pembangkang bagi semua 89 kerusi Parlimen sejak republik itu merdeka 50 tahun lalu.
Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan pada 11 September ini dan PAP yang diasaskan bapanya, Lee Kuan Yew, memerintah Singapura sejak enam tahun sebelum negara itu merdeka pada 1965.
Ketika ini, PAP mempunyai 80 daripada 87 kerusi Parlimen dengan tujuh kerusi milik Parti Pekerja (WP) yang memenanginya pada PRU 2011. Namun, bagi PRU 2015, jumlah kerusi Parlimen ditambah kepada 89.
Selain PAP dan WP yang bertanding 28 kerusi, tujuh lagi parti meletakkan calon masing-masing iaitu Parti Rakyat Singapura (SPP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Reform (RP), Parti Warga Diutamakan (SF) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Rakyat Singapura akan mengundi memilih 89 anggota parlimen di 29 kawasan pilihan raya.
Berdasarkan penamaan calon hari ini, 16 kawasan menyaksikan pertandingan antara empat hingga enam calon bagi setiap kawasan manakala 13 kawasan lagi, satu lawan satu. – Agensi/myMetro Online

