• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Thursday, April 2, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Polis Thai Edar Foto Suspek Letupan Bom Bangkok

oleh
20/08/2015
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

BANGKOK – Seorang lelaki yang dilihat hasil rakaman sebuah kamera litar tertutup atau CCTV berhampiran Kuil Erawan di tengah ibu kota Thailand pada Isnin kini menjadi orang buruan paling dikehendaki.

Pihak berkuasa Thailand pada Selasa mendedahkan, mereka sedang memburu suspek yang dipercayai meletakkan bom sebelum ia meletup dan mengorbankan sekurang-kurangnya 27 mangsa awal malam Isnin.

Media-media negara tersebut melaporkan, sumber keselamatan sebagai berkata, pihak Polis Diraja Thailand sedang giat memburu seorang lelaki dewasa yang dipercayai bukan warganegara tempatan.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha menyifatkan serangan nekad tersebut yang tidak dijangka pelbagai pihak sebagai ‘kejadian paling buruk yang pernah berlaku’ dalam sejarah moden Thailand.

“Mereka sengaja mahu memusnahkan sektor ekonomi kita, industri pelancongan kita.” katanya. Setakat ini belum ada lagi pihak atau kumpulan tertentu yang mengaku sebagai bertanggungjawab.

Gambar suspek berbaju kuning tersebut disebarkan melalui media sosial menunjukkan dia mengalas beg sandang sebelum rakaman lain menunjukkan beg yang dibawanya sudah tidak kelihatan sejurus sebelum letupan.

Di sepanjang jalan tempat letupan itu berlaku memang mempunyai beberapa CCTV dipasang kerana kawasan tersebut secara kebetulan tempat tarikan utama pelancong antarabangsa di Bangkok.

Suasana pada Isnin malam yang lazimnya sibuk di persimpangan Ratchaprasong tiba-tiba bertukar menjadi amat menakutkan apabila letupan bom menggegarkan kawasan pelancongan terkenal itu.

Kejadian buruk itu mengorbankan 27 orang (angka terkini daripada agensi berita Reuters), termasuk dua rakyat Malaysia selain mencederakan berpuluh-puluh, sebahagian besar penduduk tempatan yang lain.

Seorang pelancong dari Czech Republic yang hanya mahu dikenali sebagai Meck, yang menyaksikan insiden tersebut sejurus letupan, menggambarkan lokasi berlaku pengeboman itu sebagai ‘dahsyat’.

Ini memandangkan terdapat banyak mayat yang dilihat bergelimpangan di atas jalan raya selain ratusan mangsa yang masih lagi cedera merintih cuba meminta bantuan daripada orang ramai.

“Saya berada di sebuah pusat beli-belah berhampiran dan apabila terdengar letupan, saya segera bergegas keluar manakala orang ramai pula menjerit-jerit sambil bertempiaran lari bagaikan diserang histeria.

“Saya berlari menuju tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya dan dari jauh lagi saya boleh nampak api kebakaran dan asap berkepul,” katanya ketika ditemui pemberita.

Letupan pada pukul 7 malam (8 malam waktu Malaysia) berlaku di persimpangan Ratchaprasong, berhampiran sebuah kuil Hindu terkenal, Kuil Erawan dan kawasan beli-belah mewah di Bangkok.

Letupan itu turut memusnahkan beberapa buah kereta dan motosikal. Laporan turut menyebut bahawa penjaja jalanan di sepanjang jalan itu juga dipercayai antara mangsa letupan berkenaan.

Meck, yang belum pernah menyaksikan letupan seperti itu sebelum ini, berkata setibanya di tempat kejadian, dia mendapati beberapa mangsa berlumuran darah bergelimpangan di atas tanah, ada antaranya masih hidup.

“Mangsa berselerak di beberapa tempat dan ada antara mereka yang hilang anggota badan, darah pula ada di mana-mana. Saya berasa sungguh takut untuk terus berada di situ kerana bimbang berlaku lagi letupan.

“Jadi saya pun beredar. Sememangnya amat menyakitkan dan menyedihkan untuk melihat insiden seperti ini berlaku di bandar raya yang aman damai seperti Bangkok. Doa saya bagi keluarga mangsa,” katanya.

Beberapa buah pusat beli-belah terkenal yang berhampiran tempat kejadian antaranya Siam Centre dan Siam Paragon, terpaksa ditutup lebih awal pada pukul 9.30 malam Isnin berikutan letupan kuat tersebut.

Wartawan Sin Chew Jit Poh, Soh Li Nah yang berada di Bangkok menyertai lawatan media Malaysia berkata, dia dengar letupan kuat dan merasai gegaran masa dalam perjalanan untuk makan malam di hotel berhampiran.

“Kami semua petugas media Malaysia menaiki sebuah van dan kami pada mulanya sangkakan ia hanya bunyi guruh yang kuat, jadi kami tidak mengendahkan sahaja bunyi letupan dahsyat tersebut.

“Tidak lama kemudian kami dapat tahu tentang letupan itu dan saya sangat terperanjat. Saya tidak pernah sangka akan melalui pengalaman ini dalam kunjungan pertama ke Bangkok,” katanya kepada agensi Bernama di sini.

Persimpangan Ratchaprasong di tengah-tengah Bangkok merupakan lokasi tunjuk perasaan kumpulan Baju Merah pada 2010 dan kemudian Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat pada 2014.

Kedua-dua tunjuk perasaan itu akhirnya berkesudahan dengan ‘drama’ rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah oleh pihak tentera Thailand dan penyingkiran bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Sungguhpun insiden pengeboman itu berlaku tidak jauh dari stesen Chitlom bagi perkhidmatan kereta api Bangkok Train Service atau lebih dikenali sebagai ‘skytrain’, perkhidmatan itu terus beroperasi.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tags: bangkokletupanThailand
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Mengapa Diesel Malaysia Melonjak 82%? Thailand Hanya 2.8%, Indonesia Kekal – Kohilan Pillay

Mengapa Diesel Malaysia Melonjak 82%? Thailand Hanya 2.8%, Indonesia Kekal – Kohilan Pillay

29/03/2026
0

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MIC, Kohilan Pillay menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak harga diesel di Malaysia yang didakwa...

Pasukan MALBATT di Selatan Lubnan Diarah Berjaga-Jaga

Pasukan MALBATT di Selatan Lubnan Diarah Berjaga-Jaga

25/03/2026
0

KUALA LUMPUR - Beberapa insiden letupan berlaku di kawasan operasi berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL)...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd