KUALA LUMPUR – Lawyers For Liberty mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi layanan istimewa dan berbeza berbanding banduan lain di Penjara Sungai Buloh walaupun Anwar juga kini salah seorang banduan kes jenayah.
Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen berkata, keengganan Jabatan Penjara memberi keistimewaan kepada Anwar seperti bebas bertemu dengan sesiapa sangat zalim dan keterlaluan.
“Menyedihkan pihak berkuasa bersikap tegas sedangkan ada budi bicara yang luas untuk pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan bertamadun.
“Anwar berhak menerima layanan lebih baik daripada apa yang diterimanya di penjara waktu ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Paulsen memberi contoh lain kekejaman Jabatan Penjara ke atas Anwar seperti tidak membenarkan keluarga banduan kes liwat tersebut membuat sentuhan fizikal dengan Anwar.
Beliau turut mendakwa Jabatan Penjara bertindak kejam kerana tidak membenarkan keluarga Anwar membawa makanan dari luar penjara untuk banduan tersebut.
Beliau turut menganggap tindakan Jabatan Penjara mengasingkan Anwar daripada daripada banduan-banduan lain di Penjara Sungai Buloh sebagai perbuatan kejam.
Selain itu, beliau mendakwa Anwar tidak mendapat rawatan sewajarnya untuk penyakit yang dialaminya. – Mynewshub.cc

