KASIHAN…Bukanlah hidup insan ini mencari kekayaan mahupun kemewahan tetapi hanya sedikit untung untuk meneruskan kehidupan seharian.
Nasib seorang mak cik ini yang berniaga kecil-kecilan di kawasan Hospital Raja Permaisuri Bainun nampaknya tetap diuji apabila dia dikatakan diminta menghentikan perniagaan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Kejadian yang dikatakan berlaku baru-baru ini sekelip mata menjadi viral di ruangan sosial setelah ada individu berkongsi beberapa foto yang memaparkan wanita India itu terduduk sambil berhadapan dengan jualannya yang berselerakan di lantai.
Lebih menaikkan takah amarah orang ramai apabila individu tersebut memaklumkan, pihak MBI bertindak menabur jualan mak cik itu di atas jalan raya. Biar betul?
Pastinya kalau ia benar-benar terjadi, maka mereka harus tampil memohon maaf kepada wanita tersebut kerana bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Takkanlah hanya kerana tak memiliki permit, nasib seorang warga tua diperlakukan sedemikian tanpa sekelumitpun rasa kasihan?
Yang pastinya, sekeping gambar boleh membawa seribu satu makna tersirat. Melalui dakwaan asal yang menuduh kejadian tersebut angkara MBI, namun dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkuasa tempatan itu menyangkalnya sama sekali.
Memetik kenyataan Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria yang disiarkan Perak Today, beliau memberi jaminan bahawa kejadian itu bukanlah seperti yang dimomokkan di Internet.

“Saya melahirkan rasa dukacita kerana isu disebarkan tanpa penjelasan lanjut namun ada beberapa pihak dan saksi telah menjelaskan perkara sebenar.
“Yang salah tetap salah jika kami salah kami akan mintak maaf tapi dalam kes ini saya peringkat awal bukanlah salah oleh pihak kami dan akan dijelaskan nanti.”
Dalam pada itu, versi kedua kisah viral berkenaan pula mendakwa bahawa mak cik tersebut marah kerana dihalang berniaga lantas bertindak melakukan protes dengan mencampakkan jualannya.
Apa-apapun, rasanya kedua-dua pihak harus tampil bersama untuk melakukan sidang media dan memberikan penerangan kepada orang ramai tentang situasi sebenar yang berlaku.
Buat netizen pula, anda patut bertenang dan usah menambahkan andaian yang bukan-bukan supaya tiada provokasi yang berlaku! Kita tunggu sidang media dari Majlis Bandaraya Ipoh bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang bakal diadakan dalam waktu terdekat. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Kisah Sedih Mak Cik Dilanda Banjir


