JOHOR BAHRU – UMNO Johor tidak akan sekali-kali membenarkan parti yang ditunjangi orang Melayu itu ‘dikebumikan’ di negeri ini, malah kepentingannya perlu dipertahankan mengatasi kepentingan lain.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar lebih-lebih lagi parti keramat itu lahir, dibentuk, diasuh dan didewasakan di negeri ini.
“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, platletnya UMNO dan DNAnya juga tanpa ragu, adalah UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini hari ini.
Perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohamed Khaled, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, berkata selama ini Johor merupakan benteng parti yang terkuat dan disebabkan itu, UMNO Johor akan melakukan apa sahaja untuk membantu Najib dalam memastikan kelangsungan parti.
Beliau berkata pada masa sama, anggota UMNO harus cekal dan tidak hilang fokus terhadap usaha memperkukuhkan agenda utama parti iaitu memperjuang dan memastikan kepentingan serta perpaduan orang Melayu.
Menurutnya, ini kerana UMNO merupakan institusi Melayu yang paling penting dan diasaskan untuk melestarikan kepentingan Melayu dan Islam.
“UMNO bukan milik sesiapa. Ia institusi siasah milik bangsa Melayu. Ia milikan ummah.
“Maka tiada siapa yang lebih besar dan gah dari ini semua…UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan, ” katanya.
Beliau juga menyeru kepimpinan negara agar merasai kesempitan dan tekanan hidup rakyat setelah negara menghadapi bebanan kos sara hidup yang tinggi.
“Dengan jujur, saya mengakui banyak usaha dilakukan kerajaan untuk bangsa dan negara namun kita masih ada banyak ruang dan peluang memperbaiki keadaan bangsa,” kata beliau. – BERNAMA

