KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem baru-baru ini dipetik sebagai berkata bilangan penganggur di negara ini sekitar 399,500 orang.
Majoriti penganggur terdiri daripada mereka yang tercicir dari sekolah serta yang lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan berhasrat mewujudkan 1.5 juta pekerjaan menjelang 2020.
Secara puratanya, sebanyak 300,000 pekerjaan dirancang diwujudkan setiap tahun menjelang tempoh itu.
Mungkin bagi yang sedang mencari pekerjaan, rancangan kerajaan ini sedikit melegakan tetapi ini tidak bermakna mereka hanya bergantung kepada apa yang kerajaan hendak buat.
Ini memandangkan pasaran pekerjaan banyak bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
Kita pun sudah membaca berita ada organisasi termasuk sektor pembankan yang melaksanakan skim pemberhentian pekerja secara sukarela atau membekukan pengambilan pekerja.
KEBANJIRAN PEKERJA ASING
Maaf cakap. Dalam isu ada rakyat negara ini yang masih menganggur, negara kita terus dibanjiri pekerja asing.
Mereka ini sanggup bersesak-sesak dalam bot, meredah ombak dan lautan luas semata-mata mahu membina kehidupan baharu di negara ini.
Gelaran pendatang tanpa izin, pendatang haram dan sering menjadi buruan pihak berkuasa nampaknya menjadikan semangat mereka semakin kental untuk menyusup masuk ke negara ini.
Mutakhir dilaporkan ada lebih enam juta pekerja asing di Malaysia dengan kebanyakannya dari Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh dan India.
Daripada jumlah itu hanya sekitar 2.1 juta sahaja yang mempunyai permit yang sah.
Selain sektor perladangan dan pertanian, mereka ini antara bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh, pelayan dan pembantu rumah.
Mereka ini menghantar pulang berbilion-bilion ringgit ke negara asal setiap tahun dan secara tidak langsung turut memberi sumbangan kepada ekonomi negara masing-masing.
Soalan cepumasnya ialah sampai bilakah agaknya kita perlu bergantung kepada pekerja-pekerja asing ini?
Dari satu sudut yang lain, mungkin sudah tiba masanya untuk anak muda kita khususnya merantau ke negara orang untuk mencari pengalaman bekerja seperti yang dilakukan pekerja asing ini.
Jadikan peribahasa “Jauh berjalan luas pandangan” sebagai sandaran untuk mencari kecemerlangan diri meskipun terpaksa berpisah sekian lama daripada keluarga.
JANGAN PANDANG RENDAH
Ubah juga sikap yang memandang rendah kepada sekolah vokasional, politeknik atau sekolah kemahiran.
Jangan lagi menganggap sekolah berkenaan hanya layak untuk pelajar yang gagal.
Kini sudah terbukti pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM umpamanya sudah menjadi usahawan atau pekerja yang berjaya.
Malahan ramai usahawan tersohor bukan cemerlang sangat dari segi akademik. Sebagai contoh, Steve Jobs (Apple Inc), Bill Gates (Microsoft), Lim Goh Tong (Kumpulan Genting) dan Loh Boon Siew (Honda).
Penulis pernah menemubual seorang anak asli Asli suku kaum Jakun yang tidak berapa cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Dia tidak patah semangat, sebaliknya melanjutkan pelajaran ke sebuah politeknik dan kemudiannya menyambung pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia.
Anak muda itu kini menyandang jawatan kanan di sebuah jabatan kerajaan dengan gelaran jurutera.
Akhbar tabloid Kosmo baru-baru ini mengenengahkan beberapa individu yang “bertangan emas bergaji lumayan” meskipun kurang menyerlah dalam peperiksaan SPM.
Rata-rata mereka ini tidak putus asa dengan keputusan yang diperoleh, sebaliknya berusaha menimba ilmu dan akhirnya membuahkan kerjaya yang lumayan pendapatannya.
Malah ada yang melakukan pelbagai pekerjaan sehingga sanggup menjadi buruh binaan sebelum mencapai apa yang dinikmati sekarang.
Kejayaan anak-anak muda ini seharusnya menyuntik semangat untuk mereka yang mungkin beranggapan tiada lagi cahaya di penghujung terowong kehidupan mereka semata-mata gagal memperoleh deretan “A” dalam SPM.
PERLU SEMANGAT
Bagaimanapun, jelas yang perlu ada ialah semangat serta usaha untuk memperbaiki kekurangan diri serta mencari peluang dan bukan terus menunggu “bulan jatuh ke riba.”
Jangan juga hanya berangan mahu duduk di kerusi empuk dalam pejabat berhawa dingin. Ambil iktibar daripada pengalaman dan kejayaan orang lain.
Jangan sekali-kali malu untuk bertanya, apatah lagi malas untuk mencuba!
Kebanyakan yang belajar sehingga ke menara gading tentunya menyimpan hasrat dan tekad iaitu untuk bekerja selepas tamat pengajian.
Sekurang-kurangnya, bolehlah berdiri di atas kaki sendiri, tidak perlu lagi menyusahkan ibu bapa, malahan boleh membayar semula pinjaman pelajaran dan menghulurkan sejumlah wang, hasil titik peluh sendiri.
Namun realitinya bukan semua yang akan terus dapat bekerja. Apatah lagi mendapat pekerjaan yang menjadi impian, idaman dan motivasi untuk menghabiskan pengajian bertahun-tahun lamanya.
PERLU ADA KEMAHIRAN
Laporan akhbar baru-baru ini memberitakan bahawa pasaran penggajian kini dibanjiri graduan yang baru menamatkan pengajian.
Keadaan ini sudah tentunya memberi kelebihan kepada majikan kerana mereka mempunyai banyak pilihan.
Graduan perlu tahu bahawa majikan bukan sahaja melihat kepada sekeping atau segulung ijazah yang ada dalam tangan mereka.
Banyak lagi perkara yang majikan mahu daripada graduan, antaranya kemahiran insaniah yang sering dijadikan alasan mengapa graduan gagal ketika sesi temuduga.
Kemahiran insaniah antaranya melibatkan kebolehan berkomunikasi dan dalam hal ini, kemampuan berbahasa Inggeris dengan baik.
Mereka juga perlu mempunyai ciri-ciri kepimpinan, daya pemikiran kritis, mudah berinteraksi dengan orang lain, mempunyai semangat setiakawan ‘espirit de corp‘ serta mampu untuk ‘multi-tasking‘, yakni boleh melakukan pelbagai tugas. – BERNAMA

