ALKISAH satu Malaysia malah satu dunia tahu setiap perkataan dikeluarkan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pasti ada impak besar walaupun dalam isu yang dianggap sebagai amat remeh-temeh.
Tanyalah mana-mana wartawan yang pernah buat liputan program dihadiri negarawan ini pasti balik ke pejabat bukan dalam keadaan ‘tangan kosong’ sebaliknya tersenyum puas penuh dengan berita besar bertaraf sensasi.
Justeru tidak hairanlah setiap komen beliau ditunggu dengan penuh debaran tidak kira pemberita prokerajaan apatah lagi antikerajaan yang teruja menyebar pemikiran mantan ketua kerajaan Malaysia selama 22 tahun itu.
Ironi, bagi pengamal media yang sering mengikuti Dr. Mahathir, sejak awal bulan ini ramai mula merungut dek kekurangan berita menarik daripada beliau tegar suka ‘mengasak’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara yang paling ketara, tiada lagi cerita panas ‘sokongan’ Dr. Mahathir ke atas bekas timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan jawatannya secara mengejut dalam rombakan Kabinet pada 27 Julai lalu.
Baca: Saya Tetap Setia Dengan UMNO, Tak Akan Sertai Parti Lain
Lazimnya isu sebegini sebagaimana kes 1MDB konon dilanda pelbagai masalah itu dan ini; tentunya menjadi ‘bahan’ Dr. Mahathir apatah lagi Muhyiddin diketahui ramai memang penyokong kuat totok bekas PM tersebut.
Tiada siapa lupa bagaimana teguh padu sokongan berterusan Muhyiddin ke atas Dr. Mahathir sejak timbul isu 1MDB malah dua hari sebelum hilang jawatan pun, beliau tetap masih lagi mengulangi sokongan berkenaan.
Bayangkanlah bekas Menteri Pendidikan itu menyatakan secara terbuka ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan UMNO Bahagian Cheras di ibu negara menyebabkan ramai perwakilan yang hadir tergamam kelu!
Ini belum lagi dalam pelbagai acara lain menyaksikan Ahli Parlimen Pagoh di Johor itu menggambarkan Dr. Mahathir tidak berjuang keseorangan dengan meniru slogan keramat pasukan bola sepak Liverpool FC “You’ll Never Walk Aloneâ€Â.
Waktu itu portal-portal propembangkang begitu galak memperbesarkan isu betapa akrab hubungan Dr. Mahathir-Muhyiddin menjadikan Najib tinggal keseorangan diri tanpa ada pembantu dalam saat getir pelbagai cabaran.
Baca: Parti Hari Jadi Ke-90 Tun M Memang Hebat Meriah
Malangnya bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari; kisah kemesraan Muhyiddin dengan Dr. Mahathir akhirnya tenggelam sejurus pengumuman rombakan Kabinet baru-baru ini.
Bagi yang peka isu politik tanah air, tentu dapat merasai tiada lagi sokongan terbuka Dr. Mahathir terhadap Muhyiddin yang terus tenggelam hanyut selepas tersebar berita kemeriahan majlis hari jadi ke-90 negarawan itu.
Di manakah silapnya? Adakah Dr. Mahathir ‘bijak’ pergunakan Muhyiddin selama ini tanpa disedari sesiapa dan kemudian selamba meminggirkan bekas orang No.2 Najib itu seperti habis madu sepah pun dibuang begitu saja?
Jika benar maka amatlah malang Muhyiddin kerana sokongan tidak berbelah bahagi beliau kepada Dr. Mahathir rupa-rupanya hanyalah biduk percaturan strategik politik jangka pendek dan bukan bersifat malar hijau segar!
Sehingga artikel ini ditulis, cuba cari mana-mana komen Dr. Mahathir berkenaan isu Muhyiddin dan jawapannya sifar. Mahathir tetap Mahathir dan beliau memang ‘sifu’ politik sepanjang zaman yang tiada tolok bandingannya.
– MYNEWSHUB.CC/HAA

