JURUCAKAP Presiden Rusia Vladimir Putin, Dmitry Peskov, 47, mencetuskan kontroversi apabila gambarnya memakai jam tangan mewah tersebar sejak Isnin.
Gambar tersebut memperlihatkan dia memakai jam tangan jenama Richard Mille Tourbillon Skull 052-01 edisi terhad yang dianggarkan berharga lebih setengah juta dolar AS.
Peskov memakai jam tersebut di majlis perkahwinannya dengan atlet Olimpik Tatiana Navka yang berlangsung di Laut Hitam, Sochi pada Sabtu lalu.
Selepas isu ini hangat diperkatakan, gambar perkahwinan yang dimuatnaik isteri Pestov di laman Instagramnya yang memperlihatkan jam tangan tersebut didapati telah dipadamkan.
Pemimpin politik pembangkang Rusia, Alexei Navalny mendedahkan perkara ini di blognya dengan tajuk “Jam Tangan Pengantin Lelaki Lebih Mahal Daripada Apartmen Anda”.
Menyertakan surat daripada pembuat jam tangan Swiss kepada dirinya, Navalny berkata jam tangan jenis itu berharga AS620,000 (RM2.4 juta) dan tidak sepadan dengan pendapatan tahunan Peskov yang tidak sampai AS145,000 (RM560,000) setahun.
Navalny mendedahkan bahawa Peskov turut memakai jam tangan mewah jenama lain termasuk Rolex dan Omega.
Menjawab perkara ini, Peskov berkata jam tangan itu adalah hadiah daripada isterinya yang merupakan atlet luncur ais ternama di Rusia.
“Hadiah daripada isteri kepada suami atau sebaliknya tak harus dikaitkan dengan amalan rasuah,” ujar Peskov seperti dilaporkan pusat berita RIA Novosti.

Tatiana turut menyokong kenyataan suaminya dengan menegaskan, pendapatannya lebih daripada cukup untuk memberi hadiah semewah itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Rem Ramzi

