KUALA LUMPUR – PAS Selangor percaya Gerakan Harapan Baru (GHB) akan hanya bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkepentingan politik dalam negara.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, adalah sukar GHB menjadi sebuah parti politik kerana krediblitinya sedang dipertikaikan rakyat dan hala tuju kumpulan itu juga kelihatan kabur.
Menurutnya, disebabkan itu juga, kumpulan berkenaan terpaksa meninjau sokongan rakyat terhadap gerakan tersebut terlebih dahulu.
“Saya tidak hairan jika penubuhan parti itu ditangguh sekali lagi sekirannya sokongan rakyat dilihat sebagai tidak memberangsangkan.
“Malah saya juga tidak terkejut jika penubuhan parti tersebut dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai NGO,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Iskandar turut mempertikaikan jika kumpulan itu bertegas untuk menubuhkan sebuah politik baru maka ia perlu dilakukan dengan segera.
Justeru, beliau menyifatkan penangguhan GHB oleh pemimpin PAS yang kalah pada Muktamar Jun lalu kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat kepada mereka.
“Pada asalnya parti tersebut dijangka ditubuhkan pada pertengahan bulan Ogos tetapi kemudian ditangguh kepada awal September. Yang terkini ia akan ditubuhkan pada pertengahan bulan September,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
https://youtu.be/uOfvKcTVhSY