LONDON – Jose Mourinho mengakui Diego Costa berdepan risiko kecederaan berulang seandainya penyerang utama Chelsea itu terlalu memaksa dirinya.
Costa menambah jumlah jaringannya musim ini kepada lapan gol ketika membantu Chelsea menang 3-0 ke atas Aston Villa di Stamford Bridge, semalam sekaligus mengekalkan takhta The Blues di puncak Liga Perdana Inggeris.
Begitupun, masalah kecergasan bekas bintang Atletico Madrid yang bergelut dengan masalah kecederaan hamstring untuk beberapa minggu kekal menjadi keutamaan Mourinho.
Pengendali Chelsea itu mengakui Costa memerlukan rehat yang secukupnya untuk pulih sepenuhnya daripada masalah hamstring malah mendedahkan bintangnya itu tidak pernah mengharungi sesi latihan penuh sepanjang musim ini.
Mourinho kemudian menegaskan penyerang Sepanyol itu hanya mampu beraksi sekali seminggu namun dia sendiri mungkin akan menurunkannya pada aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Sporting Lisbon, pertengahan minggu depan.
“Diego hampir tidak melakukan apa-apa. Dia hanya berehat dan pulih daripada ketegangan otot yang dihadapinya setiap kali dia berdepan kelesuan.
“Saya fikir dia tidak perlu beraksi bersama pasukan kebangsaan dan kekal di sini selama 15 hari untuk rawatan, pemulihan dan menguatkan kembali ototnya dan menguatkan kembali bahagian itu.
“Saya fikir dia memiliki peluang sempurna untuk menjadi pemain terbaik Chelsea dan pasukan kebangsaan.
“Seandainya dia tidak memiliki tempoh itu, dia hanya akan bermain satu perlawanan dan dalam perlawanan selepas itu, dia akan berdepan masalah.
“Jika dia tidak memperoleh tempoh masa ini, dia akan sentiasa bermain dalam satu perlawanan dan perlawanan kemudian akan berdepan masalah. Ototnya berdepan bahaya untuk koyak,” katanya.
Dalam pada itu, Mourinho menegaskan berada di kedudukan teratas liga pada tahap seperti ini tidak memberi sebarang makna buatnya.
“Tidak melepaskan sebarang mata di laman sendiri sepanjang musim sentiasa menjadi faktor penting. Kami bermain dengan baik, menjaringkan gol dan gembira. Namun akan akan mengharungi satu demi satu perlawanan terlebih dulu,” kata Mourinho.
Lawan Chelsea selepas ini adalah Arsenal. – AFP