KUALA LUMPUR – Peserta dari Johor, Norhasima Kadir, muncul juara Pertandingan Bintang Klasik 2014 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini malam ini.
Beliau menyampaikan lagu ‘Burung Pungguk’ dan ‘Perasaan Hati’ nyanyian asal oleh Allahyarham Datuk Sharifah Aini, untuk mengalahkan tujuh peserta lain.
Norhasima, 31 menerima hadiah wang tunai RM20,000, sebuah motosikal Modenas, sijil dan piala iringan yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Naib johan pula diraih peserta dari Terengganu, Tuan Izzat Izzuddin Tuan Abd Aziz, 26, yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, sebuah motosikal Modenas, sijil dan piala iringan.
Manakala tempat ketiga dirangkul, Nur Athirah Abdul Rahim, 23, dari Selangor yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, sebuah motosikal Modenas, sijil dan piala iringan.
Pada pertandingan itu, peserta dari Selangor, Mohd Khairul Nizam Kamarozaman, 28, meraih hadiah khas persembahan terbaik berupa baucar busana bernilai RM3,500 sumbangan pereka fesyen terkenal Wan Huzairil.
Pertandingan Bintang Klasik mula diperkenalkan pada 2007 merupakan pertandingan dwi tahunan anjuran Radio Klasik yang terbuka kepada golongan remaja dan belia berusia 16 sehingga 35 tahun.
Norhasima ketika ditemui pemberita meluahkan kesyukuran dinobatkan sebagai juara setelah empat kali menyertai pertandingan Bintang Klasik iaitu pada 2007, 2008, 2009 dan tahun ini.
Dalam tiga pertandingan itu sebelum ini, beliau hanya sampai ke peringkat separuh akhir.
“Syukur Alhamdulillah…rezeki untuk saya walaupun kesemua peserta menunjukkan persembahan yang mantap,” katanya. – BERNAMA

