KUALA LUMPUR – Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) yang selama ini diketahui umum sebagai sebuah gerakan propembangkang akhirnya mengakui parti-parti pembangkang di negara ini tiada hala tuju dalam politik mereka.
Lensa dalam satu kenyataan media memberitahu, perkara itu diketahui mereka melalui satu perjumpaan dengan pemimpin pembangkang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor pada 13 Julai lalu.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakilkan Tian Chua; DAP mewakilkan Dr. Ong Kian Ming, Rajiv Rishyakaran dan Tan Hong Pin manakala Gerakan Harapan Baru (GHB) diwakili Khalid Samad dan Faiz Fadzil.
“Kritikan dan persoalan telah dilontarkan bertubi-tubi oleh anak muda kepada wakil-wakil parti politik ini, namun kebanyakan persoalan tidak pun dijawab secara jelas. Rata-rata persoalan adalah disekitar ketidaktentuan hala tuju pembangkang,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, wakil pembangkang yang hadir dalam perjumpaan tersebut menunjukkan perbezaan yang ketara dalam isu-isu tertentu.
Tegas kenyataan itu, pemimpin pembangkang tidak berjaya mendatangkan jawapan yang sepakat termasuk soalan siapa calon Perdana Menteri pembangkang dan rupa kabinet bayangan mereka.
“Kesimpulannya, kami kekal skeptik dengan komitmen dan kesungguhan parti-parti pembangkang yang masih kelihatan tidak bersedia, tidak sehaluan dan terawang-awangan dalam mencari jalan untuk mengukuhkan kembali pakatan pembangkang,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC
Azmin mudah lupa, pernah minta Anwar tak lagi ke jalanan – LENSA

