KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang merampas sejumlah barangan tiruan pelbagai jenama antarabangsa bernilai RM16,148 dalam operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini dua hari lepas.
Pengarah KPDNKK Pahang, Sharuddin Jali berkata operasi dua hari itu bertumpu kepada dua lokasi iaitu tapak bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Makmur dan bazar Teluk Cempedak.
Beliau berkata dalam operasi itu sebanyak 112 gerai telah diperiksa dan 10 kes direkodkan di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan dagangan palsu yang tertakluk dengan cap dagangan berdaftar.
“Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh dikenakan penalti iaitu perseorangan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap unit barang yang dirampas dan penjara tidak melebihi tiga tahun.
“Bagi perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap unit barang yang dirampas,” katanya kepada pemberita di pejabat KPDNKK di sini hari ini.
Sharuddin berkata jenis barangan yang disita ialah pakaian dan beg daripada jenama seperti Nike, Adidas, Puma dan Levis.
“Dipercayai peniaga yang terlibat mendapat bekalan barangan tiruan ini dari Utara Semenanjung.
Sehubungan dengan itu kita akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa di setiap premis jualan di negeri ini terutama menjelang perayaan Aidilfitri sebab ketika ini peniaga ambil kesempatan terhadap orang ramai yang keluar membeli belah.
“Kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi mengadakan sekatan jalan raya untuk membendung kegiatan menjual barangan tiruan dari terus berleluasa di bandar dan negeri ini,” katanya. – BERNAMA