KUANTAN – Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menyalah guna kedudukan beliau melantik syarikat isterinya untuk membekalkan lembu ke projek ternakan, empat tahun lepas.
Suriadi Abdul Jalal, 54 didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Julai 2011 di Pejabat PPK Daerah Rompin dengan melantik syarikat SR Teras Tani Enterprise milik isterinya Rozila Ariffin bagi membekalkan 79 ekor lembu untuk Projek Ternakan Lembu kepada PPK Rompin.
Projek ternakan lembu itu bernilai RM100,000 dan tertuduh yang beralamat di Taman Guru di sini ditangkap pada 12 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Tertuduh yang tenang sepanjang prosiding merayu supaya jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan mempunyai lima tanggungan termasuk tiga dari anaknya sedang menuntut di universiti dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Saya memerlukan kewangan untuk tujuan pendidikan mereka, selain memerlukan perbelanjaan untuk musim perayaan bagi membuat persiapan untuk keluarga dan anak-anak,” katanya.
Hakim Habibah Mohamed Yusof membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 denganseorang penjamin dan menetapkan 28 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
Tertuduh menjelaskan jaminan itu. – BERNAMA

