KUALA LUMPUR – PAS akan menghapuskan konsep riba (faedah dan bunga) dalam sistem kewangan negara andai berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sistem riba menjadi punca keruntuhan ekonomi sesebuah negara.
Beliau memberi contoh kejatuhan ekonomi yang berlaku di Greece adalah akibat amalan sistem riba oleh negara berkenaan.
“Bibit-bibit keruntuhan ekonomi jahiliyah sedang bermula sebagaimana jatuhnya kuasa kapitalis, sosialis dan komunis.
“Tidak mustahil esok dan lusa perkara sama boleh berlaku ke atas negara kita sekiranya kerajaan yang memerintah tidak berpegang kepada sistem ekonomi Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Khalil dalam pada itu itu mendakwa kerajaan Malaysia sedia ada tidak akan dapat menangani masalah ekonomi.
Beliau mendakwa, kerajaan Malaysia menerap pemikiran jahiliyah dalam usaha negara ini menyelamatkan kedudukan ekonomi.
“Rakyat digula-gulakan pemberian berkala senilai hanya ratusan ringgit demi menutup mulut berbicara kerakusan pemerintah durjana,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC

