NIBONG TEBAL – Seorang pemandu kren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan berurus niaga diesel secara runcit atau borong tanpa lesen yang sah tahun lepas.
Tan Hun Chong, 48, dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 November 2013 pada 12.30 tengah hari di satu kawasan lapang bersebelahan rumah bernombor 2013, Kampung Pengkalan, Batu Kawan.
Tertuduh didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 2,231 liter di dalam sebuah lori yang bernombor pendaftaran PCD 4398 di dalam keadaan yang menimbulkan syak.
Pertuduhan ke atas Tan adalah di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu iaitu membawa atau memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK).
Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Majistret Siti Salwa Jaafar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini. – BERNAMA

