IPOH – Seorang wanita maut manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lahat-Simpang Pulai, di sini, malam tadi.
Norasidah Abd Hamid, 25, meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat manakala empat yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian pada 7.15 malam itu, mangsa maut merupakan penumpang hadapan kereta kancil yang dirempuh kereta Mercedes-Benz yang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta Mercedes itu yang dipandu seorang lelaki turut merempuh sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki tiga wanita dan menyebabkan dua daripada mereka cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata akibat rempuhan itu pemandu kereta kancil mengalami patah siku kanan serta luka pada paha kanan manakala penumpang tempat duduk belakang patah tangan kiri dan luka tangan kanan.
Sum berkata polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=4_LJEr21LLk

