KUALA LUMPUR – Boeing Business Jets mengumumkan jualan BBJ MAX 9 pertamanya pada Pameran Udara Paris.
BBJ MAX 9 ditempah oleh pelanggan Eropah yang identitinya tidak didedahkan.
“Kami bangga mengumumkan bahawa program BBJ MAX 9 sudah dilancarkan secara rasmi dengan tempahan pertama BBJ MAX 9,” kata Presiden Boeing Business Jets David Longridge, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
“Dengan mengekalkan keselesaan kabin BBJ sedia ada yang tiada tandingannya, penggunaan bahan api yang rendah, keupayaan jarak yang ditingkatkan, dek penerbangan yang dinaik taraf, bunyi yang lebih rendah serta pengurangan pelepasan, BBJ MAX membolehkan syarikat penerbangan memenuhi pelbagai kehendak pelanggan VIP kami,” katanya.
Jualan BBJ MAX 9 menandakan tempahan kelima BBJ MAX. Boeing sebelum ini menerima empat tempahan untuk model BBJ MAX 8.
Boeing Business Jets menawarkan pelbagai jenis pesawat kabin besar jarak jauh yang sesuai untuk pasaran jet persendirian.
Barisan produk termasuk BBJ dan BBJ MAX, selain pesawat berbadan besar, termasuk BBJ 787, 777, dan 747-8. – BERNAMA