KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya terlepas peluang kedua untuk bertemu Ketua Menteri Tamil Nadu, Joseph Vijay hanya kerana kontroversi penyalaan pelita di lokasi yang dipertikaikan.
Menerusi kenyataan di media sosial, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr. P. Ramasamy berkata, Anwar sebelum ini sudah terlepas peluang untuk bertemu Vijay dan perkara itu tidak sepatutnya berulang.
Beliau menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, RSN Rayer yang menasihati Anwar supaya tidak menghadiri acara anjuran kerajaan Tamil Nadu pada Januari 2027 sebagai tidak wajar.
Rayer sebelum ini menggesa Anwar supaya tidak menghadiri pertemuan di Chennai susulan dakwaan Vijay tidak menghormati perintah interim Mahkamah Agung India berhubung penyalaan pelita sempena upacara keagamaan Karthigai Deepam di Deepathoon, berhampiran makam Islam di Bukit Thirupparankundram.
Sebaliknya, kerajaan negeri dan pihak pengurusan kuil mengadakan upacara berkenaan di lokasi yang lazim digunakan.
Ramasamy mengakui bahawa kegagalan melaksanakan perintah itu menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan berlakunya penghinaan terhadap mahkamah tertinggi India.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Tamil Nadu tidak melaksanakan perintah berkenaan kerana bimbang tindakan itu mencetuskan ketegangan antara penganut Hindu dengan umat Islam.
Menurutnya, lebih 5,000 anggota polis dikerahkan mengawal ketegangan di Madurai, manakala beberapa ahli Parti Bharatiya Janata (BJP) ditahan bagi mengelakkan kemungkinan berlaku konflik agama.
Ramasamy berkata, tidak begitu tepat untuk menggambarkan penganut Hindu di Malaysia sebagai marah dan kecewa berhubung isu berkenaan.
Katanya, gesaan supaya Anwar menangguhkan lawatan itu sama seperti menggalakkan Perdana Menteri mengambil pendirian dalam isu politik dan agama yang merupakan urusan dalaman Tamil Nadu.
Malah, ketidakhadiran Anwar boleh ditafsirkan sebagai sokongan tersirat terhadap pendirian BJP dan kelompok Hindutva.
Ramasamy turut berpandangan bahawa Vijay harus diberikan kebebasan untuk menentukan tindakan selanjutnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Prof. Dr. Ramasamy


