JOHOR BAHRU – Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus menyantuni dan membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan bagi meringankan beban sara hidup golongan memerlukan di negeri itu.
Menerusi hantaran akaun media sosial rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, YSIJ menyampaikan sumbangan 550 pek bakul makanan kepada penduduk Plentong, Permas Jaya dan Senibong, semalam.
Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Dewan Terbuka TADIKA KEMAS Kampung Plentong Baru.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Tan Sri Datuk Avinderjit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Mohd Anizam Jamian bersama Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru, Azura Shahira Azahar.
Dalam majlis sama, YSIJ turut menyantuni 25 kanak-kanak TABIKA KEMAS menerusi penyampaian sumbangan saguhati.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan YSIJ dalam meringankan beban sara hidup keluarga berpendapatan rendah di Johor.
Sementara itu, menerusi hantaran berasingan semalam, YSIJ turut menyampaikan sumbangan 150 Set Keperluan Persekolahan Bangsa Johor kepada anak-anak komuniti Orang Asli di SK Punan, Endau, Mersing pada 26 November lalu.
Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Operasi YSIJ, Marina Ibrahim bersama Pengurus Kanan YSIJ, Shah Reza Md Kanafe.
Turut hadir Guru Besar SK Punan, Zolnorhisham Ismail dan Tok Batin Kampung Orang Asli Punan, Ahcai Kadir.
Bantuan persekolahan itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga tempatan selain menyemarakkan semangat generasi muda komuniti Orang Asli untuk terus tekun menuntut ilmu. – MYNEWSHUB


